Panduan Pemakanan Bagi Wanita Pengidap Anemia

15:57

Anemia Akibat Kekurangan Zat Besi

(gambar sel darah merah)

Remaja perempuan dan ibu hamil berisiko mengalami anemia sekiranya mereka tidak makan makanan yang tinggi kandungan zat besi. Anemia menyebabkan seseorang wanita itu cepat letih, lesu, pucat dan kerap mengalami sakit kepala. Anemia boleh menjejaskan produktiviti, pencapaian intelektual dan kehamilan seseorang wanita. Keadaan anemia yang dialami oleh remaja perempuan boleh menjadi lebih serius akibat kehilangan darah semasa haid manakala bagi ibu hamil pula, ia boleh menyebabkan keguguran, bersalin awal, kematian janin dalam kandungan, tumpah darah selepas bersalin, bayi lahir kurang berat (kurang 2.5kg), lahir tidak cukup bulan dan pertumbuhan bayi terbantut.

Berikut adalah panduan pemakanan untuk mencegah anemia akibat kekurangan zat besi:

1. Makan Makanan Yang Kaya Dengan Sumber Zat Besi.


Zat besi terdapat dalam makanan daripada sumber haiwan dan tumbuhan. Walau bagaimanapun, zat besi yang terdapat dalam makanan daripada sumber haiwan seperti daging merah dan makanan laut mudah diserap oleh tubuh anda berbanding dengan tumbuhan. Oleh itu, anda dinasihatkan supaya makan makanan ini sekurang-kurangnya empat kali dalam seminggu. Terdapat banyak jenis makanan yang mempunyai kandungan zat besi yang tinggi dan anda boleh memilih mengikut selera dan keperluan seperti dalam jadual berikut:

(gambar jadual)

2. Makan Makanan Yang Kaya Dengan Vitamin C


Kadar penyerapan zat besi yang terdapat dalam makanan sumber tumbuhan seperti bijirin, kekacang, buah-buahan dan sayur-sayuran adalah lebih rendah berbanding dengan kadar penyerapan zat besi daripada sumber haiwan. Oleh itu, untuk meningkatkan kadar penyerapan zat besi daripada sumber tumbuhan, anda dinasihatkan untuk makan makanan tersebut bersama makanan yang kaya vitamin C. Selain daripada itu, kehadiran makanan dari sumber haiwan juga boleh meningkatkan penyerapan zat besi daripada makan bersumber tumbuhan.

Anda boleh memilih berbagai jenis buah-buahan untuk dimakan sewaktu bersarapan pagi, makan tengahari dan makan malam untuk mendapatkan vitamin C yang boleh meningkatkan kadar penyerapan zat besi.

Kandungan vitamin C dalam pelbagai jenis buah-buahan adalah seperti berikut:

(gambar jadual)
(gambar buah)

3.Aturkan Waktu Minum Teh, Kopi Dan Minuman Bersusu.


Anda dinasihatkan supaya mengawal pengambilan teh atau kopi kerana minuman ini mengandungi Tanin yang boleh menghalang penyerapan zat besi dari sumber tumbuhan. Jika anda ingin minum teh dan kopi, minuman tersebut boleh diminum dua jam selepas waktu makan utama mengelakkan gangguan ke atas penyerapan zat besi. Anda tidak digalakkan untuk minum teh dan kopi semasa makan tengahari dan makan malam. Anda digalakkan untuk minum jus buah-buahan bagi menggantikan teh atau kopi untuk meningkatkan penyerapan.

Begitu juga dengan kalsium yang terdapat di dalam susu dan hasil tenusu. Ia juga merupakan bahan yang boleh merencat penyerapan zat besi daripada sumber haiwan. Oleh itu, elakkan daripada minum minuman bersusu sewaktu makan tengahari dan makan malam. Sila pastikan anda minum minuman bersusu dua jam selepas waktu makan utama. Waktu terbaik untuk minum minuman bersusu adalah pada jam 10 pagi, jam 4 petang dan sebelum tidur iaitu dua jam selepas waktu makan utama.

Makanan-makanan lain yang mengandungi bahan yang boleh merencat penyerapan zat besi adalah seperti dalam jadual berikut:

(gambar jadual)

[sumber: brosur Panduan Pemakanan Sihat Bagi Wanita oleh Unit Pemakanan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor]

You Might Also Like:

0 comments

Followers